Langkau ke kandungan utama
MENGHAYATI KEAGUNGAN PERISTIWA ISRAK MIKRAJ DIDIK JIWA MUSLIM KE ARAH KESEMPURNAAN
June 19th, 2012 | 8:30 pm | Tazkirah | 1 response
Assalamualaikum!

Israk dan Mikraj adalah dua peristiwa yang amat besar dan luar biasa yang dialami oleh Nabi Muhammad SAW dan dianggap sebagai satu penganugerahan yang tinggi nilainya dari segi kerohanian. Kedua-dua peristiwa itu adalah kurnia Allah SWT kepada baginda untuk memperlihatkan tanda keagungan dan kekuasaan-Nya.
Israk bererti perjalanan Nabi SAW dari Masjidilharam di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis di Palestin. Peristiwa ini tertulis di dalam Al-Quran, Firman Allah yang bermaksud :
“Maha Suci Allah yang telah menperjalankan hambaNya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin) yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah al-Israa: ayat 1).

Sementara itu, Mikraj pula merujuk kepada perjalanan baginda SAW dari Masjidil Aqsa ke Sidratulmuntaha di langit ketujuh, seperti mana yang digambarkan oleh Al-Quran yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya (Muhammad) telah melihat (Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) pada waktu yang lain. (iaitu) Sidratul Muntaha. Di dekatnya terletak syurga tempat tinggal (Jannatul Ma’wa). (Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) ketika Sidratul Muntaha itu diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling daripada yang disaksikannya itu dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) TuhanNya yang paling besar.” (Surah an-Najm: ayat 13-18).
Dapatlah disimpulkan di sini bahawa peristiwa Israk Mikraj adalah sebagai satu perjalanan kilat Nabi Muhammad SAW pada malam hari di atas kehendak dan keizinan Allah SWT dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa dan kemudian naik ke langit sampai ke Sidratul Muntaha bahkan menembusi tujuh lapis langit lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.
Salah satu inti penting daripada peristiwa Israk dan Mikraj ialah perintah solat yang diterima Nabi SAW di Sidratul Muntaha. Pada mulanya Allah SWT memberi perintah supaya mengerjakan solat 50 waktu sehari semalam. Tatkala bertemu dengan Nabi Musa AS di langit keenam, Nabi Muhammad SAW menceritakan perintah yang diterimanya daripada Allah. Lalu Nabi Musa menyarankan agar baginda kembali menghadap Allah SWT untuk memohon keringanan, dengan alasan bahawa umatnya tidak akan sanggup melaksanakan solat 50 waktu itu. Disebabkan baginda terlalu sayangkan umatnya, Nabi SAW menerima saranan itu. Ia pun kembali menghadap untuk memohon keringanan. Permohonan itu berulang sehingga 9 kali hinggalah Allah SWT mengabulkannya dengan mengurangi waktu solat menjadi hanya 5 kali sehari semalam.
Manusia harus sentiasa mengadakan hubungan baik dengan Allah, di kala ditimpa kesusahan mahupun di kala mendapat kesenangan. Selain itu, manusia sebagai hamba Allah harus menjauhi perkara mungkar dan maksiat. Selain daripada itu, semasa Israk Mikraj, baginda ditunjukkan berbagai bentuk penyeksaan dahsyat yang sedang dialami oleh berbagai kaum sebagai akibat daripada segala macam bentuk kejahatan yang pernah mereka lakukan.
Sebagai kesimpulannya, Israk Mikraj merupakan mukjizat yang tidak diberikan kepada nabi-nabi yang lain. Justeru, Pelbagai pengajaran berharga yang terkandung di dalamnya hendaklah direnung dan dihayati supaya ianya dapat membantu memberikan nilai tambah dalam kehidupan, baik dalam usaha meningkatkan ketakwaan dan prestasi ibadah kepada Allah mahupun untuk peningkatan ilmu pengetahuan, terutama dalam menghadapi cabaran globalisasi masa kini. Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan.
Peristiwa Israk dan Mikraj ini juga merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kekuasaan Allah SWT. Allah telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda. Yang menjadi agenda utama sempena peristiwa ini adalah perintah wajib menunaikan solat lima waktu sehari semalam, khususnya untuk peribadi baginda mahupun untuk umatnya dengan waktu yang telah ditetapkan. Justeru, ini dapat dilihat bahawa betapa pentingnya ibadah solat di dalam kehidupan seseorang Muslim.
Jadikan pengajaran dan iktibar dari peristiwa Isra’ dan Mikraj sebagai langkah untuk membersihkan serta membentuk sahsiah diri kita dengan kembali ke jalan Allah dan meninggalkan perbuatan keji dan sia-sia. Kita sebagai hamba Allah , tugas kita bukan sahaja memperingati peristiwa Israk Mikraj ini malah kita haruslah mempraktikkan berdasarkan pengajaran daripada peristiwa Israk Mikraj ini untuk mendapatkan keredhaan daripada Allah SWT.
By: Nur ‘Afifah Mohammad

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

sk jengka 2 di persada maya

selamat datang ke alam maya skj2...

KEJOHANAN PING PONG MSSD MARAN

JOHAN P12 NOR ARISSYA QASRINA NAIB JOHAN P9 QAIREEN KE 4 ABDUL HADI